LAGENDA PUTERI SAADONG

Tuesday, November 16, 2010

MAJLIS ANUGERAH KO



Anugerah Kokurikulum SMKPS merupakan satu cetusan ilham baru oleh Tuan Pengetua sekolah ini. Pada hari ini (16 Nov 2010) merupakan anugerah yang julung-julung kali diadakan. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada penat lelah dan usaha yang dilakukan oleh pelajar dan guru untuk mengharumkan nama sekolah ini. Justeru itu, amat tepat sekali ilham yang diutarakan oleh Tuan Pengetua direalisasikan pada hari ni.

 Persembahan Kertok dan Silat Gayong membuka tirai pada hari ini untuk menyambut dif jemputan iaitu Pn. Siti Zainun dari PPD Bachok.
 

 
 
Acara seperti ini perlu dibuat setiap tahun demi untuk memotivasikan para pelajar dan guru. Dengan anugerah yang diberi, mereka merasakan segala usaha yang dilakukan pada tahun ini mendapat perhatian dan pengiktirafan. Semoga nama SMK Putri Saadong semakin menjadi sebutan kerana memperoleh kejayaan-kejayaan yang lebih gemilang.

Wednesday, September 1, 2010

SAMBUTAN KEMERDEKAAN SMKPS 2010


Sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke 53, SMK Putri Saadong dengan megahnya turut menyambut hari yang bersejarah ini. Untuk menyempurnakan hari yang penuh gemilang ini, Penolong Pegawai PPD iaitu Pn. Siti Zainun Bt. Mat telah diundang untuk merasmikan sambutan.
Ucapan oleh Tuan Pengetua dan Pn. Siti Zainun yang menyentuh sejarah kemerdekaan dan juga isu-isu semasa amat memberi pengajaran. Tuan Pengetua yang merupakan seorang pakar sejarah amat bersemangat semasa menyampaikan ucapan beliau pada hari ini.


Antara aturcara majlis pada hari ini ialah persembahan kemerdekaan daripada guru dan pelajar, pertandingan pakaian beragam kemerdekaan, pemasangan bendera di kenderaan Pengetua dan penyerahan bendera kepada Ketua Bidang.


Pada akhir Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ini, semua guru dan pelajar sama-sama mengibarkan bendera jalur gemilang dengan penuh bersemangat. Namun acara sambutan ini tidak berakhir di sini. Ini kerana sepanjang hari ini ada beberapa pertandingan dijalankan iaitu pertandingan Kuiz Kemerdekaan, Esei Kemerdekaan, Puisi Kemerdekaan, Melukis Poster dan Buku Skrap.

Thursday, August 5, 2010

PERJUMPAAN GURU DENGAN IBUBAPA PELAJAR SPM 2010

 
 Pada 3 dan 4 hb. Ogos 2010, pihak sekolah telah mengadakan perjumpaan antara guru-guru dengan ibubapa kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Perjumpaan ini diadakan bertujuan untuk memupuk kerjasama erat antara guru dan ibubapa dalam meningkatkan prestasi akademik para pelajar. Dengan adanya perjumpaan seperti ini, para ibubapa dapat bertanya kepada guru yang mengajar anak-anak mereka tentang pelbagai perkara seperti disiplin, yuran sekolah dan prestasi akademik anak-anak mereka.
 Walaupun sambutan dari ibubapa agak sederhana, namun peluang ini tidak disia-siakan oleh pihak sekolah untuk menyampaikan hasrat dan matlamat yang ingin dicapai. Keputusan UP 2 baru-baru ini menjadi garis panduan kepada mesej dalam ucapan oleh Pengetua, PK Pentadbiran dan juga Penyelaras SPM tahun ini. Pendekatan yang digunakan ini bukan sahaja memberi pendedahan atau maklumat secara langsung kepada ibubapa tentang prestasi (akademik dan disiplin) anak-anak mereka di sekolah, malah lebih jauh dari itu ialah menunjukkan komitmen ibubapa dalam harapan mereka untuk melihat anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.  
 
 
 
Sesi perjumpaan dibuat di 3 venue berasingan iaitu di Dewan Terbuka, Bilik Mesyuarat dan Bilik Tayang. Pada hari pertama ibubapa pelajar dari kelas Ekonomi Rumah Tangga (ERT) , Ekonomi Asas (EA) dan Perdagangan (PDG) yang dijemput. Manakala pada hari ke dua, ibubapa pelajar dari bidang sains dan perakaunan pula yang dijemput. Semoga sesi perjumpaan kali ke dua nanti akan mendapat sambutan yang lebih baik daripada ibubapa pelajar. Pasti komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para ibubapa akan memberkati kehidupan anak-anak mereka...Insyaallah.

Sunday, July 25, 2010

PROGRAM JUARA RAKYAT 24 JULAI 2010

Pada hari ini SMK Putri Saadong melakar sejarah sekali lagi apabila menerima kunjungan daripada YABrs Tn. Hj. Hussain B. Awang, Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan sempena Program Juara Rakyat Peringkat JKKP Mukim Seterpa. Moto yang digunakan pada tahun ini adalah " CAKNA PELAJARAN, EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN". Program bermula sejak 22 julai lagi dan berakhir pada jam 1.oo petang pada hari ini. Dalam ucapan perasmian beliau yang panjang lebar, Tuan Pengarah Pelajaran memberi tips-tips mengajar dan tips-tips belajar kepada warga SMK Putri Saadong untuk dipraktikkan. Beliau juga amat mengharapkan agar ibubapa turut memainkan peranan di rumah supaya memberi galakan dan kawalan kepada anak-anak mereka yang masih belajar di sekolah. Untuk menyempurnakan kehadiran YABrs Tuan Pengarah, beliau dijemput untuk menyampaikan biasiswa kepada pelajar SMK Putri Saadong yang layak.


 Program ini menjadi semakin meriah dengan kesudian YAB Puan Sri Hjh. Rosniah Bt. Abd. Rahman isteri kepada YB Tan Sri Hj. Annuar B. Hj. Musa hadir untuk membuktikan wakil rakyat mereka mudah didekati dan didampingi. Tanpa mensia-siakan kehadiran Puan sri ke program ini, beliau telah diminta untuk menyampaikan KWAPM kepada pelajar-pelajar SK Bukit Marak.


 


Setelah selesai majlis perasmian Juara Rakyat, YABrs Tuan Pengarah bersama Puan Sri Rosniah Abd. Rahman meluangkan masa melawat tapak pameran dan venue pertandingan. Pertandingan yang diadakan pada hari ini ialah pertandingan mewarna untuk pelajar sekolah rendah. Antara agensi yang mengambil bahagian dalam pameran Juara Rakyat pada tahun ini ialah Klinik Kesihatan Peringat, KADA, UiTM Machang, Jabatan Pelancongan Negeri Kelantan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Mengakhiri program pada tengahari ini, sedikit jamuan disediakan untuk santapan para tetamu. Jamuan dibuat di bengkel MPV sempena bangunan baru siap dibina pada tahun lepas untuk dirasmikan oleh Tuan Pengarah. Program seumpama ini amat penting dalam usaha menghubungkan kemesraan antara komuniti setempat dengan pihak yang terlibat. Diharap matlamat dan objektif program ini dapat dicapai sepenuhnya.