LAGENDA PUTERI SAADONG

Tuesday, November 16, 2010

MAJLIS ANUGERAH KO



Anugerah Kokurikulum SMKPS merupakan satu cetusan ilham baru oleh Tuan Pengetua sekolah ini. Pada hari ini (16 Nov 2010) merupakan anugerah yang julung-julung kali diadakan. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada penat lelah dan usaha yang dilakukan oleh pelajar dan guru untuk mengharumkan nama sekolah ini. Justeru itu, amat tepat sekali ilham yang diutarakan oleh Tuan Pengetua direalisasikan pada hari ni.

 Persembahan Kertok dan Silat Gayong membuka tirai pada hari ini untuk menyambut dif jemputan iaitu Pn. Siti Zainun dari PPD Bachok.
 

 
 
Acara seperti ini perlu dibuat setiap tahun demi untuk memotivasikan para pelajar dan guru. Dengan anugerah yang diberi, mereka merasakan segala usaha yang dilakukan pada tahun ini mendapat perhatian dan pengiktirafan. Semoga nama SMK Putri Saadong semakin menjadi sebutan kerana memperoleh kejayaan-kejayaan yang lebih gemilang.

Wednesday, September 1, 2010

SAMBUTAN KEMERDEKAAN SMKPS 2010


Sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke 53, SMK Putri Saadong dengan megahnya turut menyambut hari yang bersejarah ini. Untuk menyempurnakan hari yang penuh gemilang ini, Penolong Pegawai PPD iaitu Pn. Siti Zainun Bt. Mat telah diundang untuk merasmikan sambutan.
Ucapan oleh Tuan Pengetua dan Pn. Siti Zainun yang menyentuh sejarah kemerdekaan dan juga isu-isu semasa amat memberi pengajaran. Tuan Pengetua yang merupakan seorang pakar sejarah amat bersemangat semasa menyampaikan ucapan beliau pada hari ini.


Antara aturcara majlis pada hari ini ialah persembahan kemerdekaan daripada guru dan pelajar, pertandingan pakaian beragam kemerdekaan, pemasangan bendera di kenderaan Pengetua dan penyerahan bendera kepada Ketua Bidang.


Pada akhir Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ini, semua guru dan pelajar sama-sama mengibarkan bendera jalur gemilang dengan penuh bersemangat. Namun acara sambutan ini tidak berakhir di sini. Ini kerana sepanjang hari ini ada beberapa pertandingan dijalankan iaitu pertandingan Kuiz Kemerdekaan, Esei Kemerdekaan, Puisi Kemerdekaan, Melukis Poster dan Buku Skrap.

Thursday, August 5, 2010

PERJUMPAAN GURU DENGAN IBUBAPA PELAJAR SPM 2010

 
 Pada 3 dan 4 hb. Ogos 2010, pihak sekolah telah mengadakan perjumpaan antara guru-guru dengan ibubapa kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Perjumpaan ini diadakan bertujuan untuk memupuk kerjasama erat antara guru dan ibubapa dalam meningkatkan prestasi akademik para pelajar. Dengan adanya perjumpaan seperti ini, para ibubapa dapat bertanya kepada guru yang mengajar anak-anak mereka tentang pelbagai perkara seperti disiplin, yuran sekolah dan prestasi akademik anak-anak mereka.
 Walaupun sambutan dari ibubapa agak sederhana, namun peluang ini tidak disia-siakan oleh pihak sekolah untuk menyampaikan hasrat dan matlamat yang ingin dicapai. Keputusan UP 2 baru-baru ini menjadi garis panduan kepada mesej dalam ucapan oleh Pengetua, PK Pentadbiran dan juga Penyelaras SPM tahun ini. Pendekatan yang digunakan ini bukan sahaja memberi pendedahan atau maklumat secara langsung kepada ibubapa tentang prestasi (akademik dan disiplin) anak-anak mereka di sekolah, malah lebih jauh dari itu ialah menunjukkan komitmen ibubapa dalam harapan mereka untuk melihat anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.  
 
 
 
Sesi perjumpaan dibuat di 3 venue berasingan iaitu di Dewan Terbuka, Bilik Mesyuarat dan Bilik Tayang. Pada hari pertama ibubapa pelajar dari kelas Ekonomi Rumah Tangga (ERT) , Ekonomi Asas (EA) dan Perdagangan (PDG) yang dijemput. Manakala pada hari ke dua, ibubapa pelajar dari bidang sains dan perakaunan pula yang dijemput. Semoga sesi perjumpaan kali ke dua nanti akan mendapat sambutan yang lebih baik daripada ibubapa pelajar. Pasti komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para ibubapa akan memberkati kehidupan anak-anak mereka...Insyaallah.

Sunday, July 25, 2010

PROGRAM JUARA RAKYAT 24 JULAI 2010

Pada hari ini SMK Putri Saadong melakar sejarah sekali lagi apabila menerima kunjungan daripada YABrs Tn. Hj. Hussain B. Awang, Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan sempena Program Juara Rakyat Peringkat JKKP Mukim Seterpa. Moto yang digunakan pada tahun ini adalah " CAKNA PELAJARAN, EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN". Program bermula sejak 22 julai lagi dan berakhir pada jam 1.oo petang pada hari ini. Dalam ucapan perasmian beliau yang panjang lebar, Tuan Pengarah Pelajaran memberi tips-tips mengajar dan tips-tips belajar kepada warga SMK Putri Saadong untuk dipraktikkan. Beliau juga amat mengharapkan agar ibubapa turut memainkan peranan di rumah supaya memberi galakan dan kawalan kepada anak-anak mereka yang masih belajar di sekolah. Untuk menyempurnakan kehadiran YABrs Tuan Pengarah, beliau dijemput untuk menyampaikan biasiswa kepada pelajar SMK Putri Saadong yang layak.


 Program ini menjadi semakin meriah dengan kesudian YAB Puan Sri Hjh. Rosniah Bt. Abd. Rahman isteri kepada YB Tan Sri Hj. Annuar B. Hj. Musa hadir untuk membuktikan wakil rakyat mereka mudah didekati dan didampingi. Tanpa mensia-siakan kehadiran Puan sri ke program ini, beliau telah diminta untuk menyampaikan KWAPM kepada pelajar-pelajar SK Bukit Marak.


 


Setelah selesai majlis perasmian Juara Rakyat, YABrs Tuan Pengarah bersama Puan Sri Rosniah Abd. Rahman meluangkan masa melawat tapak pameran dan venue pertandingan. Pertandingan yang diadakan pada hari ini ialah pertandingan mewarna untuk pelajar sekolah rendah. Antara agensi yang mengambil bahagian dalam pameran Juara Rakyat pada tahun ini ialah Klinik Kesihatan Peringat, KADA, UiTM Machang, Jabatan Pelancongan Negeri Kelantan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Mengakhiri program pada tengahari ini, sedikit jamuan disediakan untuk santapan para tetamu. Jamuan dibuat di bengkel MPV sempena bangunan baru siap dibina pada tahun lepas untuk dirasmikan oleh Tuan Pengarah. Program seumpama ini amat penting dalam usaha menghubungkan kemesraan antara komuniti setempat dengan pihak yang terlibat. Diharap matlamat dan objektif program ini dapat dicapai sepenuhnya.

Monday, July 5, 2010

SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ 1431 HIJRAH

Ahad 4 hb. Julai 2010, sebagai pembuka hari pada minggu ini, SMKPS mengadakan Sambutan Israk Dan Mikraj 1431 Hijrah. Matlamat sambutan Israk Dan Mikraj ini ialah untuk memberi manfaat terutamanya kepada pelajar agar dapat memperkukuhkan iman sebagai benteng menghadapi ujian dan dugaan serta dijadikan panduan di dalam menyelesaikan masalah kerohanian dan peribadatan. Sehubungan dengan itu, Ustaz Tn. Anuwa B. Tn. Mat yang merupakan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dijemput untuk memberi ceramah.
 Ustaz Tn. Anuwa nyata seorang penceramah yang berpengalaman kerana bijak menarik perhatian audien. Ceramah beliau hampir 2 jam itu tidak sedikit pun membosankan. Apatah lagi apa yang beliau sampaikan iaitu tentang perjalanan nabi israk dan mikraj begitu banyak mengandungi hikmah dan pengajaran. Malah ia tepat dengan objektif penganjuran ceramah ini iaitu :
  • melahirkan pelajar yang bertakwa dan mematuhi perintah Allah s.w.t.
  • melahirkan pelajar yang sentiasabermuhasabah tentang kelemahan diri dalam kehidupan.
  • meneladani sirah Rasulullah s.a.w dengan mengetahui, mencontohi dan membangunkan kembali keagungan tamadun islam.

Sunday, July 4, 2010

MAJLIS JAMUAN PERSARAAN DAN PERPISAHAN

Pada hari ini 30 hb. Julai 2010 bertempat di Dewan Gemilang SMKPS, sebuah majlis telah diadakan sempena seorang daripada kakitangan sekolah ini telah tamat perkhidmatannya secara persaraan awal (52 tahun). Beliau ialah Pn. Fauziah selaku Ketua Pembantu Tadbir Kanan di sekolah ini. Majlis ini juga merupakan majlis perpisahan dengan 3 orang guru sekolah ini yang akan bertukar ke SMK Teratak Pulai. Mereka ialah En. Amir, Pn. Mazidah dan Pn. Roslina Ghazali.
Sebagai menghargai sumbangan mereka yang telah menabur bakti di sekolah ini, Pengetua menghadiahkan cenderahati sebagai kenang-kenangan. Walau pun cenderahati nampak tidak seberapa tetapi ia membawa seribu makna dan pengertian.


 Majlis diakhiri dengan jamuan ringkas hasil permuafakatan antara guru dan kakitangan SMKPS serta jawatankuasa kerja Karnival PESKO.

Tuesday, June 29, 2010

PESKO SMKPS (24 Jun - 27 Jun 2010) MENGGEGARKAN DAERAH BACHOK

PESKO (Pesta KoKurikulum) SMKPS pada tahun ini amat menakjubkan. Pelbagai pihak memberi pujian di atas usaha keras guru-guru dan kakitangan sekolah ini menjayakan program ini dengan gemilang. Pada hari ini (27 Jun 2010) Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan iaitu En. Azmi Bin Mamat yang mewakili Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan sudi hadir untuk merasmikan PESKO SMKPS 2010. Program yang berlangsung selama 4 hari ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibubapa pelajar dan juga penduduk setempat. Malah guru dan pelajar dari sekolah-sekolah sekitar daerah bachok turut hadir untuk memberi sokongan kepada program ini.
Inilah antara babak-babak menarik yang dipamerkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan serta Dif-Dif Jemputan yang hadir. Kami sajikan dengan alunan Kertok, pencak silat, lagu yang dinyanyikan secara koir (Negaraku, Selamat Sultan, Lagu Sekolah dan Lagu Koperasi). Kemudian gimik pelancaran PESKO yang menakjubkan dipertontonkan.

  Antara acara yang mengisi program selama 4 hari ini adalah perkhemahan di sekolah, ceramah-ceramah (laluan selepas PMR dan SPM serta ceramah kerjaya), pertandingan-pertandingan (melukis, catur dan karom) gerai-gerai jualan serta pameran. Program seperti ini memerlukan kerjasama dan komitment yang tinggi untuk menjayakannya. Syabas kepada semua guru, kakitangan dan pelajar SMKPS kerana bekerja keras untuk merealisasikan kejayaan program ini. Program seperti ini perlu diteruskan dan diadakan setiap tahun dengan inovasi dan kreativiti yang lebih baik. Syabas sekali lagi.